Monday, December 28, 2009

Takziah Kepada Tuan Hj Mohd Fauzy Hj Abdul Halim Atas Pemergian Isteri Tersayang

Pagi tadi kami menerima berita bahawa Puan Mashitah, isteri kepada ahli ISKANDARIAN,Tuan Hj Mohd Fauzy Abdul Halim (Ahli Seumur Hidup No. 7), telah kembali ke rahmatullah di Shah Alam.  AJK ISKANDARIAN dan warga ISKANDARIAN yang lain mengucapkan takziah kepada Tuan Hj Mohd Fauzy, yang merupakan bekas AJK dan penyokong kuat persatuan, atas pemergian isteri tersayang beliau.  Marilah kita sedekahkan Al-Fatihah..semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat.

Kemaskini: Pada 24 Januari 2010, ISKANDARIAN telah menganjurkan majlis doa dan tahlil bagi arwah Allahyarhamah Hjh Mashitah dan Allahyarham Pak Meor Ahmad (terkenal dengan Pak Meor Green Transport yang juga kembali kerahmatullah pada bulan Disember 2009) di rumah Tuan Hj Fauzy dihadiri oleh Penaung ISKANDARIAN, Dato Seri Abdul Aziz Shamsuddin dan Datin Seri, Dato' Presiden & Isteri, AJK dan juga ahli-ahli ISKANDARIAN yang berada sekitar Shah Alam.  Anakanda Pak Meor, Puan Adilah turut serta mewakili keluarga beliau. Tuan Hj Fauzy dan Puan Adilah mengucapkan ribuan terima kasih di atas ingatan dan doa hadirin kepada arwah ahli keluarga masing-masing.  Semoga roh mereka di cucuri rahmat dan di tempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. Amin.

Thursday, December 24, 2009

Tuesday, December 1, 2009

PERUTUSAN DARIPADA PRESIDEN ISKANDARIAN SEMPENA PELANCARAN SEMULA LAMAN BLOG ISKANDARIAN DI : http//iskandarianparit.blogspot.com

Assalammualaikum Warahmatullahhi Wabarakatuh dan Selamat Sejahtera kepada semua Ahli Iskandarian dan Warga Sekolah Menengah kebangsaan Iskandar Shah dan Sekolah Rendah Kebangsaan Iskandar Shah.

Saya mengucapkan Syabas dan Tahniah kepada Biro Keahlian dan Publisiti (2009-2011) Iskandarian yang di Pengerusikan oleh Saudara Mohar bin Zainal Abidin yang telah berjaya menggantikan laman sesawang yang lama tidak boleh dipakai atas sebab-sebab teknikal dengan laman blog ISKANDARIAN yang baru. Di era globalisasi dan moden ini cara berkomunikasi perlu cekap dan pantas, mahu tidak mahu kita terpaksa mengikut arus perubahan cara penyampaian. Menggunakan BLOG adalah satu-satu cara yang ISKANDARIAN guna pakai sekarang.

Untuk kepentingan Ahli-Ahli Iskandarian serta SMKIS dan SRKIS kita akan guna BLOG ISKANDARIAN ini untuk menyebar maklumat-maklumat yang bermanfaat dan berita-berita dan program berhubung dengan ISKANDARIAN untuk dikongsi bersama. Oleh itu saya menyeru kepada semua ahli dan warga SMKIS dan SRKIS tampil ke hadapan memberi sumbangan artikel, idea, coretan dan cadangan yang boleh dimuat ke dalam blog ini. Idea, artikel dan coretan mestilah yang bernas, membina dan boleh membawa manfaat kepada kita semua.

Pada tahun ini genaplah usia Sekolah Menengah Kebangsaan Iskandar Shah Parit enam puluh (60) tahun sejak penubuhannya pada bulan Februari 1949, Bagi seorang manusia, usia begini menggambarkan kematangan. Bagi sebuah institusi, umur sepanjang itu sudah tentu sekolah ini telah melahirkan insan-insan yang berjaya. Tidak dapat dinafikan bahawa sekolah ini telah banyak melahirkan cerdik pandai yang memberi sumbangan kepada pembangunan negara. Keluaran dari sekolah ini meliputi semua bidang samada dalam politik, pendidikan, pentadbiran, ketenteraan dan bidang professional seperti doktor, jurutera dan lain-lain. Tidak hairanlah sekiranya ke mana-mana kita pergi jika kita gunakan “tag” ISKANDARIAN kita diberi layanan keutamaan. Semangat “espirit de corps” ini telah dipupuk semasa di bangku sekolah lagi

Dengan adanya “tools” elektronik ini saya harap ramai lepasan Sekolah Iskandar Shah Parit yang membuka blog ini tapi belum menjadi ahli ISKANDARIAN tampil kehadapan mendaftar diri untuk menjadi ahli.

Akhir kata, saya sekali lagi megucapkan terima kasih kepada Biro Keahlian dan Publisiti 2009-2011 ISKANDARIAN kerana telah menghidupkan semula “tools” sumber maklumat untuk digunapakai oleh ISKANDARIAN.
Sekian, Terima Kasih.
DATO’ IR’ HJ. AZIZUDDIN BIN MEOR HAMZAH
PRESIDEN
PERSATUAN BEKAS PENUNTUT SEKOLAH ISKANDAR SHAH PARIT - ISKANDARIAN

Friday, November 27, 2009

Al-Fatihah - Zaleha Bt Shaari (Form 5Sc2, 1979)

Petang kelmarin, 26 November 2009, kami mendapat berita bahawa seorang bekas penuntut SMIS, Zaleha Bt Shaari (dikenali juga sebagai Intan), kelas 5Sc2, 1979 kembali kerahmatullah di Hospital Selayang, Kuala Lumpur.  Jenazah beliau telah dikebumikan di Parit.  Marilah kita bersama-sama sedekahkan fatihah kepada roh Allahyarhamah dan kepada keluarganya ucapan takziah diucapkan. Innalillah.

Wednesday, November 25, 2009

Khabar Dari Negeri Bawah Bayu

Bila ada kelapangan saya tidak jemu melayari internet mencari rakan-rakan sekolah lama termasuk hostelites dari Sabah dan Sarawak.  Baru-baru ini beberapa orang menulis balik kepada saya yang saya paparkan di sini sedutannya:

"Salam sejahtera, Terima kasih di atas emel sdra. SMIS telah saya tinggalkan lebih kurang 27 tahun lalu. Rindu juga utk ke sana. Bersama-sama ini saya sertakan sekeping gambar nostalgia yg masih ada dalam simpanan saya sehingga sekarang.

Kalau tdk silap saya, dalam gmbr tersebut, sdra berada pada kedudukan barisan yg ke-3, iaitu ke-3 dari kiri.Saya pula di barisan hadapan (mencangkung) no. 2 dari kanan.
Kebanyakan nama rakan-rakan yg ada dalam gmbr tersebut telah saya lupa, sekadar mengingati beberapa nama sahaja. Sekian, terima kasih. - Joannes -SMIS Parit 1978 - 1982"


"Salam Mohar, Ok sdh lawat kemarin. Bagus juga ada blog Iskandarian boleh juga melepaskan rindu ngan SMIS. Nanti sa antar gambar bdk YS yang saya ada.  Tolong courier roti ngan susu dari rest. Tawakal untuk saya heheeee -Rusdeh Arifin"

Mohar Zainal Abidin
Naib Presiden/Pengerusi Biro Keahlian & Publisiti 2009-2011

Sunday, November 22, 2009

Tahukah Anda ISKANDARIAN Menyediakan Hadiah Bagi Pelajar Cemerlang

Sudah beberapa tahun ISKANDARIAN memberi penghargaan kepada pelajar-pelajar SMK Iskandar Shah, Parit yang cemerlang di dalam peperiksaan utama seperti STPM, SPM dan PMR.  ISKANDARIAN juga menyediakan satu hadiah utama bagi Tokoh Pelajar yang cemerlang dalam bidang akedemik dan kokurikulum.  Nama-nama hadiah tersebut dan penerima terakhir (bagi tahun 2008) adalah seperti berikut:

  1. Anugerah Tun Hamdan bagi STPM bernilai RM350 - Lee Yin Peng.
  2. Anugerah Shaidali bagi SPM bernilai RM300 - Chong Ee Pin.
  3. Anugerah Presiden bagi PMR bernilai RM250 - Mohamad Shahir Azimuddi Bin Ibrahim, Nivetha A/P Kanappan dan Nurul Syazwani Bt Abdul Rahman.
  4. Anugerah ISKANDARIAN bagi Tokoh Pelajar bernilai RM500 - Nor Syuhadah Bt Saiddin
Hadiah-hadiah bagi tahun 2008 telah disampaikan oleh Dato' Ir Hj Azizuddin Meor Hamzah, Presiden ISKANDARIAN di Majlis Malam ISKANDARIAN bertempat di Heritage Hotel, Ipoh pada 11 Julai 2009 lalu.

Hadiah-hadiah ini disediakan bagi memberi perangsang kepada para pelajar supaya sentiasa tekun belajar untuk menimba ilmu sebanyak mana yang boleh untuk mencapai kejayaan di dalam peperiksaan..  Oleh yang demikian,ISKANDARIAN berharap semua penuntut SMK Iskandar Shah berusaha kuat untuk merebut peluang ini.  Selamat Maju Jaya!

Saturday, November 21, 2009

Selamat Menduduki Peperiksaan SPM & STPM

AJK dan ahli-ahli ISKANDARIAN mengucapkan selamat menduduki peperiksaan STPM dan SPM kepada penuntut-penuntut Tingkatan 6 Atas dan Tingkatan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan Iskandar Shah.  Semoga anda memduduki peperiksaan dengan tenang dan yakin dan beroleh keputusan yang cemerlang nanti.  Sedikit nasihat..pastikan anda menjaga pemakanan dan dapatkan rehat (tidur) yang cukup sepanjang musim peperiksaan ini supaya badan sentiasa bertenaga dan cergas.  Doa kami bersama anda semua..SEMOGA BERJAYA!

Tuesday, November 17, 2009

KONGSI GAMBAR KELAS ANDA DI SINI!

Anda boleh mengemukakan gambar kelas terakhir anda di Iskandar Shah, Parit untuk kami pamerkan di dalam blog ini.  Sila scan dan emel gambar (JPEG) kepada kami iskandarianparit@gmail.com atau hantar melalui pos kepada Biro Keahlian, d/a 31, Jalan TR2/3, Tropicana Golf & Country Resort, 47410 Petaling Jaya.  Sila catatkan nama penuh anda & gelaran (nickname) semasa di sekolah, tahun dan nama kelas anda (contoh: 5Sc1, 1979).  Oh ya, jangan lupa memberikan kedudukan anda dalam gambar tersebut.


Form 1 1979 Sumbangan Hisham Abdullah (fomerly Bitis Ampangou, pelajar tajaan Yayasan Sabah)

Sunday, November 15, 2009

Majlis Malam ISKANDARIAN 2009, Heritage Hotel, Ipoh

Majlis Malam ISKANDARIAN telah diadakan pada 11 Julai 2009 di Ballroom, Heritage Hotel, Ipoh, Perak. Seramai hampir 200 orang ahli-ahli dan tetamu telah menghadiri majlis tersebut.  Pada malam tersebut telah diadakan penyampaian Hadiah Pelajar Cemerlang kepada penuntut-penuntut SMK Iskandar Shah yang berjaya di dalam peperiksaan STPM, SPM & PMR.  ISKANDARIAN juga telah melancar Tabung Pelajaran ISKANDARIAN pada malam itu dan hasil kutipan pada malam tersebut serta sumbangan penderma yang lain sebanyak RM15,000 telah diperuntukan untuk tabung tersebut.  Sebagai menghargai jasa Mantan Presiden, Tuan Hj Ahmad Zahari yang memikul tanggungjawab menerajui ISKANDARIAN selama 23 tahun, beliau telah dihadiahkan dengan satu blazer ISKANDARIAN yang ditempah khas dan sebuah cenderahati. Selain itu hadirin telah disajikan dengan lagu dan muzik dan juga hadiah-hadiah cabutan bertuah.




Untuk melihat gambar-gambar lain malam tersebut sila klik di sini.

AGM ISKANDARIAN 2009

Mesyuarat Agung Tahunan 2009 telah di adakan pada 11 Julai 2009 yang lalu di Heritage Hotel, Ipoh. Mesyuarat tersebut telah dirasmikan oleh Penaung ISKANDARIAN, Dato' Seri Abdul Aziz Shamsuddin. Pemilihan AJK Pentadbir dan Juruaudit Dalam bagi sessi 2009-2011 telah dijalankan. Tuan Hj Ahmad Zahari yang telah memikul tanggungjawab sebagai Presiden sejak penubuhan ISKANDARIAN pada tahun 1986 telah memilih untuk melepaskan teraju kepimpinan kepada Dato' Ir Hj Azizuddin Meor Hamzah. Pemilihan kali ini menyaksikan beberapa muka baru terutama wanita dilantik menjadi AJK. ISKANDARIAN mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dato' Seri Aziz yang telah sudi merasmikan mesyuarat, jutaan terima kasih kepada Tuan Hj Ahmad Zahari atas jasa dan pengorbanan beliau selama menjadi Presiden dan tahniah kepada Dato' Ir Hj Azizuddin kerana sanggup memikul tanggungjawab untuk menerajui ISKANDARIAN.



Untuk melihat gambar-gambar lain semasa AGM sila klik di sini.

Iftar @ Bait Al-Amin, Kampung Tengah, Parit

Pada bulan Ramadhan yang lalu, ISKANDARIAN telah mengambil kesempatan menganjurkan majllis berbuka puasa dengan penghuni-penghuni rumah anak-anak yatim Bait Al-Amin di Kampung Tengah, Parit.  Di majlis tersebut selain dari berbuka puasa, berjemaah menunaikan solat maghrib, Dato Ir. Hj Azizuddin Meor Hamzah, Presiden ISKANDARIAN telah menyampaikan sumbangan sepasang baju raya dan duit raya kepada para penghuni Bait Al-Amin. Sumbangan yang diberi adalah merupakan derma ikhlas daripada beberapa warga ISKANDARIAN.  Turut hadir bersama-sama dengan AJK ISKANDARIAN adalah Tuan Hj Hussain Puteh, Pengetua SMKIS dan Tuan Hj Mohamed Idris Ismail, YDP PIBG SMKIS.  Seperti tahun 2008, acara ini adalah salah satu program amal ISKANDARIAN.

Latarbelakang Penaung-Penaung ISKANDARIAN

Akan datang.  Sila datang lagi.  Terima kasih

Sejarah Sekolah Iskandar Shah

Akan datang.  Sila datang lagi.  Terima kasih.

Sejarah Penubuhan Persatuan Bekas Penuntut Sekolah Iskandar Shah Parit, Perak

Akan datang.  Sila datang lagi.  Terima kasih

Usaha Mengumpul Buku-Buku Tahunan Sekolah

ISKANDARIAN mendapati bahawa koleksi buku-buku tahunan/majalah sekolah yang disimpan di Pusat Sumber SMK Iskandar Shah adalah tidak lengkap.  Oleh kerana buku tahunan adalah merupakan rekod sekolah dan menjadi sumber penting sejarah alma mater yang kita sayangi, maka Biro Keahlian & Publisiti, ISKANDARIAN sedang berusaha untuk mengumpulkan buku-buku tahunan daripada ahli-ahli dan bekas penuntut sekolah kita. 

Dengan itu kami menyeru kepada semua bekas penuntut sekolah Iskandar Shah, daripada lepasan tahun 1949 hingga sekarang (iaitu dari zaman Government English School, Iskandar Shah School hingga kini) supaya dapat meminjamkan buku tahunan yang masih ada dalam simpanan untuk kami salin.  Jika anda berhajat untuk mendermakan buku-buku tahunan yang ada dalam simpanan anda, kami akan berusaha untuk menempatkanya salinan asal di Pusat Sumber sekolah. 

Apa yang anda perlu buat ialah memaklumkan kepada kami melalui "Hubungi Kami" atau menghantar sms kepada Mohar 012-3935917 [sila hantar (1) nama anda (2) tahun buku tahunan yang ada], atau e-mel kepada mailto:moharza@streamyx.com, atau menulis kepada Biro Keahlian & Publisiti, d/a 31, Jalan TR2/3, Tropicana Golf & Country Resort, 47410 Petaling Jaya dan beritahu kami buku-buku tahunan tahun mana yang ada dalam simpanan anda.  Kami akan menghubungi anda kemudian sekiranya kami memerlukan buku tahunan yang ada pada anda. 

Kami harap usaha ini dapat sokongan padu dari semua warga Iskandar Shah.  Terima kasih.

Pengerusi, Biro Keahlian & Publisiti 2009-2011

Hari Anugerah Kokurikulum 2009 & Sambutan 60 Tahun SMKIS

Dato Ir Hj Azizuddin Bin Meor Hamzah, Presiden ISKANDARIAN telah diberi penghormatan untuk merasmikan Hari Anugerah Kokurikulum 2009 & Sambutan 60 Tahun SMK Iskandar Shah yang diadakan pada 11 November 2009 di Dataran SMIS. Dalam ucapan perasmian beliau, Dato' Presiden mengucapkan ribuan terima kasih atas undangan Pengetua dan memberi kata-kata semangat kepada para pelajar supaya mengambil peluang untuk berusaha mencapai kejayaan di bidang akademik dan ko-kurikulum.


Pada hari tersebut sijil-sijil dan anugerah diberi bagi kegiatan-kegiatan kokurikulum seperti kelab permainan & sukan, unit beruniform dan pelbagai kelab & persatuan.  ISKANDARIAN mengambil kesempatan di majlis itu untuk turut menyumbangkan hadiah khas jam edisi khas ISKANDARIAN kepada 3 penerima Anugerah Khas Kokurikulum iaitu Ketua Umum, Abdul Azim Bin Mazlan, Penolong Ketua Umum, Nor Hamizan Binti Saharuddin dan penerima Anugerah Tun Hamdan.  Tahniah kepada mereka yang diraikan atas kejayaan individu dan kumpulan mereka yang telah mengharumkan nama SMK Iskandar Shah, Parit.  Selain daripada itu, satu pameran oleh pelbagai pasukan beruniform seperti Polis Di Raja Malaysia,, Jabatan Pertahanan Awam, Bomba & Penyelamat, MSN, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan kempen derma darah turut diadakan.

Saturday, November 14, 2009

Maklumbalas Anda Kami Hargai

Kami amat menghargai semua maklumbalas yang dapat membantu persatuan ini menjadi lebih berkesan dan bermakna kepada ahli-ahli, sekolah dan masyarakat umum. Sila tinggalkan komen anda di sini: