PROGRAM SEKARANG/AKAN DATANG

17 Jun 2018, 10.00pg: Majlis Sambutan Aidilfitri Iskandarian 2018, Dewan Serbaguna SMK Iskandar Shah, Parit. 15 Sep 2018 (TENTATIF), 9pg: Kejohanan Bowling Iskandarian Kali Ke 2, Ampang Superbowl D'Mall Seri Iskandar; 2.45ptg: Mesyuarat Agung Tahunan; 8.00mlm, D'Hotel: Majlis Makan Malam Iskandarian 2018, D'Hotel.

Friday, July 25, 2014

SALAM AIDILFITRI 2014/1435H


Assalamualaikum,

Menjelang munculnya Syawal, Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bekas Penuntut Sekolah Iskandar Shah, Parit (ISKANDARIAN) mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua ahli-ahli ISKANDARIAN, bekas penuntut, bekas guru-guru dan kakitangan, guru-guru dan pelajar Sekolah Iskandar Shah, Parit (Menengah & Rendah) yang beragama Islam.  Semoga segala amalan sepanjang Ramadhan yang bakal berakhir diberkati Allah SWT.

Dikesempatan ini saya dengan rasa syukur Alhamdulillah ingin memaklumkan bahawa baru-baru ini ISKANDARIAN telah menganjurkan secara sendiri atau dengan kerjasama pihak lain berberapa majlis serta  menyumbang kepada aktiviti-aktiviti seperti berikut:
  1. Membuat sumbangan kewangan kepada SK Iskandar Shah, Parit bagi menampung sebahagian kos perjalanan Kumpulan Kombo Cili Padi  yang mengambil bahagian di International Music Festival, Istanbul, Turki pada bulan April 2014,
  2. Majlis Hari Anugerah Pelajar Cemerlang SMK Iskandar Shah yang diadakan pada 30 April 2014 di Dewan Serbaguna SMK Iskandar Shah,
  3. Majlis Makan Malam “Thank You Teachers” –Jasa Mu Dihargai di bawah naungan YBhg Tan Sri Dato Seri Abdul Aziz Shamsuddin bagi meraikan guru-guru SMK Iskandar Shah dan SK Iskandar Shah sempena sambutan Hari Guru yang diadakan pada 27 Jun 2014 bertempat di D’Hotel, Seri Iskandar.  Majlis turut disertai oleh sekumpulan bekas guru-guru SMK dan SK serta bekas-bekas pelajar Iskandar Shah,
  4. Majlis Penyampaian Biasiswa, Zakat dan Sumbangan Aidilfitri Yayasan Tun Hamdan kepada Pelajar-Pelajar dan Anak-Anak Yatim Negeri Perak 2014 yang diadakan pada 17 Julai 2014 di Dewan Serbaguna SM Iskandar Shah Parit
  5. Majlis Berbuka Puasa serta penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada Penghuni Bait Al-Amin, Parit pada malam 17 Julai 2014.

Sukacita dimaklumkan Jawatankuasa juga sedang merancang satu Majlis Makan Malam 2014 di sebuah hotel di Ipoh pada satu tarikh yang akan diumumkan sedikit masa lagi.  Majlis ini nanti dijangka akan menjadi suatu perhimpunan terbesar bekas pelajar-pelajar sekolah kita.  Diharap semua bekas pelajar bersama-sama memberi sokongan dan menghadiri majlis itu nanti.

Memandangkan kesuntukan sumber dan tenaga kerja, Jawatankuasa telah memutuskan untuk tidak mengadakan majlis Jamuan Aidilfitri untuk tahun ini.  Saya berharap kemeriahan Aidilfitri dapat terus diraikan oleh batch-batch Iskandarian  dalam majlis-majlis sambutan masing-masing.  Inshaa Allah jika ada kelapangan dan pelawaan, Ahli-Ahli Jawatankuasa Iskandarian akan turut bersama.

Sebelum mengakhiri, saya bagi pihak seluruh Jawatankuasa Iskandarian memohon ribuan ampun dan maaf jika ada salah dan silap serta apa-apa kekurangan di dalam pentadbiran urusan persatuan kita.  Kepada yang memandu pulang berhari raya, pastikan kenderaan berada di dalam keadaan baik dan selamat dan sentiasalah berhati-hati di jalanraya.

Selamat Aidilfitri. Maaf Zahir & Batin

DATO IR HJ AZIZUDDIN BIN MEOR HAMZAH
Presiden ISKANDARIAN




No comments:

Post a Comment