Sunday, June 26, 2016

Warkah Daripada Dato' Presiden Sempena Aidilfitri 1437H/2016M


 
25 Jun 2016

YB Tan Sri/Dato’/Tuan/Puan,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh & Salam Sejahtera,

Menjelang munculnya 1 Syawal 1437H, Jawatankuasa Pentadbir Persatuan Bekas Penuntut Sekolah Iskandar Shah, Parit (ISKANDARIAN) sessi 2015/2017 mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua ahli-ahli ISKANDARIAN, bekas pelajar & guru-guru yang beragama Islam dan selamat bercuti kepada yang lain.  Semoga segala amalan sepanjang Ramadhan yang bakal berakhir diberkati Allah SWT.

Saya dengan rasa syukur Alhamdulillah ingin memaklumkan bahawa baru-baru ini ISKANDARIAN telah menganjurkan secara sendiri atau dengan kerjasama pihak lain berberapa majlis serta  menyumbang kepada aktiviti-aktiviti seperti berikut:

  1. Majlis Hari Anugerah Pelajar Cemerlang SMK Iskandar Shah yang diadakan pada 21 April 2016 di Dewan Serbaguna SMK Iskandar Shah.
  2. Majlis Berbuka Puasa dengan Pelajar Maahad Tahfiz Kg Chopin Kanan pada 11 Jun 2016.
  3. Majlis Penyampaian Biasiswa & Zakat Yayasan Tun Hamdan kepada Pelajar-Pelajar dan Anak-Anak Yatim yang diadakan di SM Tuanku Abdul Rahman, Ipoh pada 15 Jun 2016.
  4. Program Wakaf Telekung bagi kegunaan pelajar & penghuni asrama SMK Iskandar Shah dari 26 Mei 2016 hingga 20 Jun 2016.
  5. Majlis Berbuka Puasa serta penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada Penghuni Bait Al-Amin, Parit pada malam 25 Jun 2016.
  6. Kempen Ahli Seumur Hidup ISKANDARIAN daripada 1 Jun 2016 hingga 30 November 2016 sedang berjalan. Maklumat dilampirkan di sini.
Sukacita juga saya memaklumkan dan menjemput YB Tan Sri/Dato’/Tuan/Puan ke Majlis Sambutan Aidilfitri 1437H/2016M di Dewan Serbaguna SMK Iskandar Shah, Parit yang akan diadakan pada hari Sabtu, 9 Julai 2016 dari jam 10 pagi hingga 2 petang. Kehadiran semua amat dialu-alukan.

Sebagai mengakhiri, saya bagi pihak seluruh Jawatankuasa Pentadbir Iskandarian memohon ribuan ampun dan maaf jika ada salah dan silap serta apa-apa kekurangan di dalam pentadbiran urusan persatuan kita.  Kepada yang memandu pulang berhari raya, pastikan kenderaan berada di dalam keadaan baik dan selamat dan sentiasalah berhati-hati di jalanraya.
 
Selamat Aidilfitri. Maaf Zahir & Batin

 
DATO IR HJ AZIZUDDIN BIN MEOR HAMZAH
Presiden ISKANDARIAN





No comments:

Post a Comment